HIBURAN:)

Friday 18 March 2011

KENAPA ANDA MEMERLUKAN PERANCANGAN KEWANGAN?

APA ITU PERANCANGAN KEWANGAN?

Sekiranya anda ingin ke satu destinasi – apa yang perlu anda lakukan?
Berbagai persoalan akan timbul pada diri anda:-
Apakah cara terbaik untuk ke sana?
Adakah kesesakan lalu lintas?
Adakah lebih baik menaiki LRT atau bas, atau perlukah seseorang membawa saya ke sana?
Ternyata ada banyak pilihan yang boleh anda buat!
Justeru untuk mendapatkan pilihan terbaik, nilailah pilihan-pilihan yang sedia ada. Fikirkan apa
yang perlu dan wajar dilakukan, kemudian buatlah keputusan. Langkah-langkah sedemikian
merupakan proses yang dikenali sebagai perancangan. Perancangan boleh dibuat bagi jangka
masa pendek, sederhana mahupun panjang.
Begitulah juga dengan perancangan kewangan, Cuma bezanya tempoh perancangan adalah lebih
panjang. Sebaiknya, perancangan anda perlu menjangkau sehingga usia persaraan. Perancangan
kewangan melibatkan persoalan-persoalan mengenai masa depan, impian dan matlamat anda. Ini
merangkumi apa yang anda mahukan dalam kehidupan, contohnya mendirikan rumah tangga,
membeli kereta atau rumah, mendapat cahaya mata dan membiayai pelajaran mereka.
Untuk memenuhi hasrat dan impian ini, anda perlu merancang dari segi kewangan. Dalam
perancangan kewangan, anda akan melihat bagaimana perlunya menyediakan bajet atau
belanjawan, menabung dan membelanjakan wang anda sepanjang masa.

Langkah-Langkah Dalam Perancangan Kewangan

Terdapat 5 langkah penting dalam proses perancangan kewangan:
1. Menilai kedudukan kewangan anda sekarang.
2. Menetapkan matlamat.
3. Menyediakan pelan kewangan.
4. Melaksanakan pelan tersebut.
5. Memantau dan menilai semula.

Faedah perancangan kewangan


Ramai orang menganggap perancangan kewangan sebagai sesuatu yang membebankan serta
menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang menyeronokan. Jika anda
sentiasa hidup berjimat, sudah tentu anda perlu mengorbankan aktiviti-aktiviti keseronokan
sekarang, bukankah begitu? Cuba fikirkan, jika anda perlu berjimat, anda masih boleh
memperuntukan wang dengan sedemikian supaya anda mempunyai wang untuk keluar dengan
rakan-rakan dan bersuka ria.
Jika anda dapat mengaturkan tabiat perancangan kewangan yang baik, anda boleh memastikan
anda mempunyai cukup wang untuk lebih berseronok pada masa depan!
Dengan pelan kewangan peribadi, anda akan:
• mempunyai lebih kawalan terhadap hal-ehwal kewangan dan berupaya mengelakkan
perbelanjaan berlebihan, hutang tidak terurus, kebankrapan atau kebergantungan kepada
orang lain.
• mengeratkan lagi hubungan peribadi dengan orang sekeliling anda, seperti keluarga anda,
kawan-kawan dan rakan sekerja, kerana anda gembira dengan kehidupan anda dan tidak
perlu pinjam-meminjam wang untuk memenuhi keperluan atau mengharapkan sumbangan
daripada orang lain;
• bebas daripada kebimbangan kewangan kerana anda telah merancang bagi masa depan,
menjangka perbelanjaan dan mencapai matlamat peribadi hidup anda;
• menjadi lebih efektif untuk mendapatkan, menggunakan dan melindungi sumber
kewangan anda sepanjang hayat, bukan hanya bagi diri anda malah bagi mereka yang
tersayang.
Dengan erti kata lain, apabila anda mempunyai pelan kewangan peribadi yang terurus, anda lebih
arif tentang keperluan masa depan dan sumber yang sedia ada. Anda juga mendapat ketenangan
kerana mampu mengawal
segalanya.

No comments:

Post a Comment